INI RUANG ANDA BERMAIN…

2009 November 16
oleh sanggardebat

dalam beberapa entri terdahulu, saya kerap menggunakan kata “kita” dalam bicara.

tapi saya terlupa, ini bukan tentang saya. ini tentang anda.

saya terlupa, masa telah berubah, saya semakin dewasa.

dan hari ini, debat bukan lagi tentang ruang permainan saya.

debat adalah ruang untuk bermain. hapus keterbatasan dan bebas limitasi. selagi belum dipanggil pulang, selama itu ruang ada untuk keseronokannya.

boleh berlari jauh dan melompat tinggi, panggil seramai kawan main bersama, asal jangan bising di belakang rumah jiran. ruang sedepa boleh diisi rasa gembira semua, boleh berdekah hilai tawa.

itu gambaran bila kita bermain bukan?

tetapi, kenapa kini, bila bicara tentang ruang untuk bermain, suasana tidak semeriah dahulu. mungkin teman di sisi tidak berkurang, tetapi keseronokan bermain telah hilang. mungkin diganggu belenggu? mungkin ada yang buat anda tidak rasa selesa untuk bermain sepuasnya. mungkin ada ragu, rasa bimbang atau gusar. mungkin yang dicari adalah rasa sempurna, terlupa bahawa ketika kita bermain, keseronokan itu yang memberi erti, lebih dari segalanya.

apa yang membataskan anda?

ke mana ruang bermain itu telah hilang sebenarnya..?

Oleh Diyana Sulaiman

HARI INI DAN SEMALAM…

2009 Oktober 24
oleh sanggardebat

hari ini, anda adalah pendebat seperti mana saya satu masa dahulu.

anda adalah pendebat yang muda jiwa dan usia.
anda adalah pendebat yang penuh dengan tenaga.
anda adalah pendebat dengan segala kegembiraan dan keinginan untuk menjadikan segala yang mungkin itu pasti.
anda yang memegang tinta dan kalam.
anda yang tahu, bahawa dalam dunia ini, dalam dunia debat ini, kemustahilan itu hanya satu kewujudan dalam minda anda sendiri.
anda yang tahu, bahawa ketakutan itu, dapat hapus bila kita ada rasa percaya yang tinggi.
anda yang tahu, bahawa lawan itu, adalah pemain bicara yang handal.
anda yang arif, bahawa kata-kata dan kemahiran ini adalah untuk digunakan untuk sebaiknya.
anda yang berbicara tentang masalah dunia, dengan penghayatan bahawa anda ialah salah seorang warga dunia.
anda yang pasti, bahawa dengan kekalahan ini, perjalanan tidak akan berhenti.
anda yang sesekali menangis sendirian, kerana keinginan tidak tercapai.
anda yang tidak pernah puas dengan apa yang telah anda lakukan, pusingan demi pusingan, perlawanan demi perlawanan.
anda yang sering meletakkan debat lebih utama dari kuliah dan tugasan dari pensyarah (yang ini perlu lebih berhati-hati ya!)

anda yang tahu, bahawa semakin lama anda berada di sini, berdebat, melakukan semuanya yang anda lakukan – namun hakikatnya ialah, semakin banyak perkara yang tidak anda ketahui tentang segala-galanya.

anda yang pada satu masa dulu, bermula dengan keyakinan dan keinginan untuk berdebat.
anda yang memulakannya, mungkin kerana suka-suka, mungkin kerana ikut-ikutan,
anda yang melakukannya mungkin kerana disuruh teman.
anda yang sebenarnya, mungkin langsung tidak menyangka akan berjalan sejauh ini.
anda yang merasakan, di beberapa peringkat, hampa dengan kemampuan anda sendiri.
anda tahu, bahawa anda tidak maju seperti orang-orang yang lain.
anda tahu, bahawa anda tidak berlari sepantas yang anda harapkan.
anda tahu, bahawa di sini anda masih bertatih, sedang sepatutnya anda sudah berlari sejauhnya.

anda yang bertanya kepada diri sendiri, mengapa saya tidak sehandal yang lain.
anda yang bertanya kepada diri anda, mengapa mereka punya pesona.
anda yang ingin tahu, apakah lagi yang patut anda lakukan.

anda yang punya ragu, adakah satu hari nanti, anda akan capai apa yang anda inginkan?
anda yang was was, satu hari nanti, adakah anda akan menjadi orang yang anda harap anda kan jadi?

bukankah anda dan saya, hanya dua orang yang sama, sebenarnya?

Oleh: Diyana Sulaiman


Serena, Adebayor… Selamat Hari Raya..

2009 September 15
oleh sanggardebat

Cerita Serena William dan Emmanuel Adebayor dalam Tenis Terbuka U.S dan Liga Perdana Inggeris adalah tentang sikap dan nilai. Sukan antarabangsa dan kesungguhan para pengendali dan pengurus sukan menjaga sikap dan nilai. Dipandangan mata kasar, apa salahnya meragui atau membantah keputusan pengadil. Apatahlagi bergembira selepas menjaringkan gol.

Tetapi cara tindakan dan perlakuan itu yang boleh ditimbang. Cara mengawal dan mengurus perasaan. Dalam debat, samada perlawanan atau persahabatan sekalipun dalam pergaulan harian pastinya akan ada hati terluka, ada rasa kecewa yang mungkin kemudiannya menjadi sengketa. Mengapa dicari derita atau dipanjangkan duka. Telan saja pahit, buang saja perit. Biar betul caranya.

Dalam dunia perdebatan, persahabatan dan hidup seharian kita mungkin diposisi penjaga garisan dalam perlawanan separuh akhir Serena Williams, atau penyokong Arsenal dan pengadil perlawanan Liga Perdana Inggeris itu atau kadangkala kitalah Serena Williams dan Emmanuel Adebayor. Sikap dan nilai…

Maaf Zahir Batin… Salam Aidilfitri

SANGGAR DEBAT…